KUALA LUMPUR 27 Feb. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad malam ini menerima Anugerah Khas Alumni daripada Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berikutan sumbangan besar beliau kepada pembangunan universiti berkenaan.
Anugerah itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Majlis Bersama Pemimpin anjuran persatuan tersebut yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Selain Dr. Mahathir, Rektor UIAM yang pertama, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan pula menerima Anugerah Penghargaan Khas Alumni.