KUALA LUMPUR 2 Mac – Kerajaan digesa membatalkan serta-merta keputusan untuk membawa masuk 45,000 pekerja dari India bagi mengisi kekurangan tenaga kerja kerana ia boleh menjejaskan kesejahteraan negara.
Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, keputusan itu akan meningkatkan lagi jumlah pekerja asing di negara ini sekali gus membangkitkan masalah berkaitan keselamatan.
Selain itu beliau berkata, ia juga boleh menyebabkan konflik antara mereka dan penduduk setempat ekoran berlakunya pertembungan budaya.
“Kita khuatir kemasukan beramai-ramai pekerja asing akan menyebabkan kehidupan masyarakat kita semakin tidak tenteram kerana berlaku pertembungan budaya dengan penduduk tempatan.