بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Assalamualaikum w.b.t - Ayuh kita bangkit, mempertahankan nadi Bangsa Melayu, Agama dan Tanah Air tercinta dari mereka yang cuba menghancurkannya. Allahhuakhbar, Allahhuakhbar, Allahhuakhbar.
Email: perkasa_terengganu@yahoo.com.

Jumaat, Mac 18, 2011

Injil: Kristian dakwa dua syarat ‘hina’, enggan terima naskhah dicap

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Masyarakat Kristian menegaskan tidak akan mengambil 5,100 nakshah kitab Injil Bahasa Malaysia yang ditahan Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang atas alasan dua syarat dikenakan menghina agama mereka.
Sebaliknya, Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) yang mewakili 90 peratus gereja di negara menggesa Putrajaya dengan segera menggugurkan dua syarat dikenakan Kementerian Dalam Negeri, yang membolehkan naskhah Al Kitab yang ditahan di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuching dilepaskan.
“Ini bermakna kitab Injil dalam Bahasa Malaysia kini dilayan sebagai bahan larangan,” kata beliau sambil menambah, ia tertakluk kepada kawalan manusia.

“Ini menyinggung penganut Kristian,” kata Pengerusinya Biskop Ng Moon Hing dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Pertubuhan itu menolak dakwaan kerajaan bahawa ia telah berkompromi.
Sebaliknya ia menegaskan bahawa tidak pernah bersetuju agar disahkan kitab itu hanya bagi orang Kristian.
Malah kata beliau, sesiapa sahaja yang menghormati kata-kata suci mana-mana agama akan tersinggung dengan tindakan seumpama itu.
Ng menambah, pihaknya tidak akan menerima sebarang tindakan sedemikian memandangkan ia adalah dokumen “suci bagi kami.”
Dengan merujuk kepada perintah 1982 yang dikeluarkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, CFM berkata, tiada peruntukan dalam undang-undang yang memperuntukkan bahawa sebarang bentuk perkataan perlu diperakukan pada salinan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia.
“Oleh itu salinan-salinan itu sudah pun diperakukan, kami tidak akan mengambil naskhah-naskhah yang dilepaskan (dari Pelabuhan Klang),” katanya lagi.
CFM berkata pihaknya menolak hujah kerajaan bahawa kitab Injil dalam Bahasa Malaysia adalah “ancaman kepada keselamatan dan kepentingan Malaysia.”
Ia mengecam layanan kerajaan ke atas kitab Injil terbabit sebagai “penerbitan subversif.”
Semalam, sebuah portal berita melaporan bahawa meskipun seorang anggota Kabinet menyifatkannya sebagai subjudis, Kementerian Dalam Negeri menegaskan kesemua 5,100 naskhah kitab Injil “Al Kitab Berita Baik” – didalam Bahasa Malaysia – yang ditahan di Pelabuhan Klang sejak Mac 2009 akan dilepaskan.
Ia akan dilepaskan dengan memenuhi dua syarat.
“Untuk makluman tuan (The Bible Society of Malaysia), Kementerian Dalam Negeri telah memutuskan bahawa 5,000 naskhah Al Kitab Berita Baik yang ditahan di Pelabuhan Klang, Selangor pada 20 Mac 2009 akan dilepaskan secara pentadbiran,” kata Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Datuk Zaitun Ab Samad dalam surat yang dialamatkan kepada The Bible Society of Malaysia.
Surat bertarikh 16 Mac (kelmarin) itu berkata pelepasan itu tertakluk kepada syarat diturunkan cap “Al Kitab Baik Ini Untuk Kegunaan Penganut Agama Kristian Sahaja” dan dicetak nombor siri pada setiap naskhah.
“Ya, saya boleh mengesahkan bahawa kami sudah mengeluarkan surat,” kata Zaitun ketika dihubungi.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa tindakan mengeluarkan naskhah-naskhah yang ditahan di Pelabuhan Klang sebagai subjudis memandangkan kes berkaitan dengan penggunaan kalimah “Allah” masih di peringkat rayuan di mahkamah.
Dalam laporan terdahulu, Nazri memberitahu bahawa 5,100 naskhah yang dirampas di Pelabuhan Klang kekal tidak sah di bawah enakmen Islam Selangor.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberitahu bahawa 30,000 naskhah Al Kitab yang ditahan di Pelabuhan Kuching boleh dibawa keluar memandangkan tiada enakmen di Sarawak yang menghalang penggunaan perkataan “Allah” oleh kalangan bukan Islam dalam penerbitan mereka.
“Ini kerana di Selangor dan negeri-negeri lain di Semenanjung, selain Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, ada enakmen yang menghalang penggunaan perkataan Allah oleh bukan Islam,” kata beliau.
Sepuluh negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan mempunyai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) yang menghalang penggunaan kalimah “Allah” sama ada secara lisan ataupun bertulis.
Kelmarin, pentadbiran Najib bersetuju membenarkan pengeluaran dan pengedaran secara terhad dan terkawal kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, yang ditahan di Pelabuhan Kuching Sarawak, dan Pelabuhan Klang, Selangor.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dalam satu kenyataan berkata langkah kerajaan ini adalah selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kitab itu mesti dicap dengan tag “Untuk Penganut Agama Kristian sahaja”.
“Sejak peruntukan undang-undang itu digunakan pada tahun 1982, tiada sebarang masalah atau isu yang timbul dengan pelaksanaannya,” katanya.
Selain itu, Idris berkata kajian teliti oleh Jabatan Peguam Negara juga mendapati pengeluaran kitab-kitab itu tidak akan mengangggu dalam prosiding mahkamah berkaitan penggunaan kalimah “Allah”.
“Oleh itu, dalam konteks berikut kerajaan telah dapat secara amnya mengeluarkan buku kitab Injil tersebut,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...