بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Assalamualaikum w.b.t - Ayuh kita bangkit, mempertahankan nadi Bangsa Melayu, Agama dan Tanah Air tercinta dari mereka yang cuba menghancurkannya. Allahhuakhbar, Allahhuakhbar, Allahhuakhbar.
Email: perkasa_terengganu@yahoo.com.

Ahad, September 11, 2011

TUN HANIFF: ‘KAMI DARI DULU BUKAN POLIS BRITISH, KAMI POLIS NEGARA


IPOH, 9 Sept — Tun Mohammed Haniff Omar menegaskan 25 individu termasuk anggota polis yang terbunuh dalam tragedi Bukit Kepong adalah wira sebenar, bukan Ahmad Indera atau Mat Indera seperti mana yang didakwa Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Jelas bekas Ketua Polis Negara, kesemua 25 individu itu adalah wira sebenar kerana telah berusaha untuk mempertahankan maruah dan lambang kuasa pihak berkuasa.

“Sarjan Jamil Mohd Shah, anggota polis dan keluarga mereka adalah wira sebenar , sebab apa? Sebab mereka sanggup mempertahankan balai polis, satu-satunya lambang kuasa dan kedaulatan daripada serangan musuh kejam yang telah berusaha untuk merampas kuasa dengan menggunakan keganasan yang hanya boleh dilihat di kalangan Nazi dan Jepun.
“Cuba bayangkan isteri-isteri polis dan polis bantuan telah berusaha menyelamatkan balai polis, mereka dikepung oleh 200 komunis dan dihujani dengan peluru selama lima jam tanpa menyerah kalah, sungguhpun mereka bertahan sehingga rentung, jadi siapakah wira sebenar?” katanya pada Wacana Peristiwa Bukit Kepong: Siapa Wira Sebenar? di sini.
Justeru kata Haniff , tidak syak lagi kesemua 25 individu adalah wira sebenar bukan Mat Indera.
“Tapi persoalannya jika soalan ini ditanyakan bulat-bulat kepada orang muda yang tidak tahu sejarah, besar kemungkinan mereka akan memilih Mat Indera yang mengetuai serangan itu.
“Pada zahirnya mereka ini antipenjajahan tetapi apa sebenarnya yang berlaku dalam tragedi Bukit Kepong, orang buta sejarah tentu akan mengiakan persoalan ini,” katanya.
Mohamad, lebih dikenali “Mat Sabu” mencetuskan kontroversi apabila memberitahu dalam satu ceramah bahawa pejuang kemerdekaan telah melancarkan serangan itu di balai polis Bukit Kepong — membunuh 25 orang — semasa pemberontakan komunis pada 1950.
Mohamad, dalam ceramahnya mengatakan Ahmad — salah seorang individu yang dipujinya ketika ceramah pada 21 Ogos lalu telah dikatakan sebagai seorang pejuang kemerdekaan.
Tambah Haniff, Mat Indera tidak wajar digelar pejuang kemerdekaan kerana dia memperjuangkan dasar komunis.
“Di mana asasnya kenyataan Mat Sabu yang mempertahankan Mat Indera? Pada 1948 Mat Indera menyertai Parti Komunis Malaya (PKM), dia hanya pegawai am, dia bukan mengetuai serangan tetapi sekadar orang bawahan.
“Bagaimana dia (Mat Indera) boleh jadi wira kemerdekaan, PKM berjuang untuk meletakkan kita di bawah pentadbiran komunis. Adakah PKM nak merdekakan negara atau letakkan negara di bawah komunisme,” katanya.
Dengan nada berseloroh beliau berkata kenyataan Mohamad tentang tragedi Bukit Kepong berkemungkinan kerana tidak berpuashati dengan polis yang melanggar beliau semasa Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
“Saya rasa kenyataan itu kerana beliau marah dengan polis sebab kata beliau tidak dilanggar pajero. Polis tunjuk video dan beliau tidak dilanggar tapi dalam kenyataan beliau kata dilanggar proton Waja.
“Beliau sudah bosan dengan polis, beliau marah dengan polis, kami dari dulu bukan polis British, kami polis negara ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...