
SHAH ALAM, 12 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin menegaskan bahawa pendidikan berkualiti dan berkemampuan merupakan
prasyarat penting melahirkan modal insan berpengetahuan dan berpekerti mulia.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata untuk Malaysia menjadi sebuah
negara maju dan berdaya saing, suatu landasan pendidikan yang berkualiti dan
bertaraf dunia perlu disediakan.
"Tidak kira jurusan apa sekalipun yang diikuti pelajar, yang pentingnya
modal insan yang kita menjana akan menjadi pewaris kepada kesejahteraan dan
kemakmuran negara," katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Tahun
ke-20 Sekolah Kiblah dan majlis makan malam amal di sini, malam Rabu.
Dalam era globalisasi yang mencabar, beliau berkata generasi pelajar hari ini
terutama dari sekolah agama perlu memiliki gagasan, budaya, nilai dan etika
moral yang tinggi serta jati diri yang kental supaya dapat menangkis pengaruh
globalisasi yang negatif dan menjadi contoh teladan kepada masyarakat sejagat.
"Justeru kita perlu memberi perhatian kepada pendidikan watak dan pada
masa yang sama menekankan kepada pendidikan kreatif dan inovatif bagi
melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif, kritis dan inovatif," katanya.
Katanya melalui pendekatan tersebut, ia dapat melahirkan masyarakat yang berfikir
serta memiliki keperibadian yang luhur, iaitu ciri-ciri moden insan yang
dikehendaki oleh negara.
"Sebenarnya tidak ada jalan mudah untuk mencapai kejayaan. Kita mahu
melihat agar anak didik warga Malaysia akan terbela tak kira dari apa golongan
sosio ekonomi. Kerajaan akan sentiasa membantu namun pihak yang
bertanggungjawab hendaklah sentiasa berusaha memajukan diri," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berharap Sekolah Kiblah yang merupakan salah sebuah
daripada 22 Sekolah Menengah Agama Swasta dalam negara, menyusun strategi untuk
meletakkannya seiring dengan Sekolah Berprestasi Tinggi di bawah Kementerian
Pelajaran.
Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Qatar dan beberapa pihak
dari Arab Saudi dalam usaha membangunkan sekolah itu yang kini beroperasi di
Dengkil, Selangor.
Pada majlis itu, Muhyiddin menyaksikan wakil Emir Qatar, Dr Sheikh Abdullah
Al-Jalaly menyampaikan sumbangan cek berjumlah 5 juta Qatar Riyal (kira-kira
RM4.2 juta) kepada Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah dan Maahad Tahfiz
Kiblah, Tan Sri Hashim Meon.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut respons terhadap kebimbangan yang disuarakan
Mufti Masjidil Haram, Mekah, Dr Syeikh Sulaiman As-Saloomi yang turut
menghadiri majlis makan malam itu, berhubung nasib umat Islam Rohingya di
Myanmar.
Muhyiddin berkata Malaysia yang merupakan negara Islam terdekat dengan Myanmar,
prihatin dengan apa yang berlaku kepada penduduk Rohingya dan misi kemanusiaan
sedang diusahakan untuk menghantar bantuan kepada mereka.
"Walaupun kita tidak mempunyai sumber yang banyak seperti negara Timur
Tengah, kita akan membantu saudara Islam kita seberapa banyak yang boleh,"
katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan