
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta rakyat supaya tidak memperjudikan masa depan negara dengan cuba memberi sokongan kepada pembangkang sebaliknya terus bersama Barisan Nasional (BN) demi menjamin masa depan.
Beliau berkata, kerajaan BN sudah mempunyai pelbagai pengalaman dalam mentadbir negara sejak 55 tahun lepas berbanding pakatan pembangkang yang dilihat semakin 'bersimpang-siur' dan 'cacamarba' dalam pentadbiran mereka.
"Masa depan tidak boleh diperjudikan," kata Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN semasa berucap pada majlis perjumpaan khas anggota jentera pilihan raya BN Pagoh, di sini, hari ini.
"Dia (pembangkang) janji macam-macam. Kata boleh buat lebih baik dari kita (BN) tetapi tidak boleh. Mereka tidak sepakat, jadi, bagaimana hendak tubuh kerajaan.
"Hari-hari ada berita dari Selangor. Bukan BN hendak bohong tetapi bila ditanya, mereka (pembangkang) tidak dapat jawab,soal air di Selangor, saya hendak lihat bagaimana Selangor menyelesaikan masalah itu," tegasnya.
Mengenai jentera pilihan raya BN Pagoh, Muhyiddin menasihatkan jentera di 46 Pusat Daerah Mengundi itu supaya bekerja keras demi mencapai kemenangan.
Matlamat BN untuk mendapat majoriti lebih besar pada pilihan raya umum akan datang akan tercapai sekiranya anggota jentera mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan, katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan