بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Assalamualaikum w.b.t - Ayuh kita bangkit, mempertahankan nadi Bangsa Melayu, Agama dan Tanah Air tercinta dari mereka yang cuba menghancurkannya. Allahhuakhbar, Allahhuakhbar, Allahhuakhbar.
Email: perkasa_terengganu@yahoo.com.

Rabu, Disember 22, 2010

BN terjemah aspirasi raja dalam Perlembagaan Persekutuan

Majlis Raja-Raja Melayu

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Barisan Nasional (BN) tidak memperalatkan raja-raja Melayu sebaliknya menterjemahkan aspirasi institusi tersebut seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.



Pensyarah Kanan Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Zaini Abu Bakar berkata, setakat ini tidak ada bukti yang menunjukkan BN memperalatkan institusi raja-raja tetapi memeliharanya sebagai satu penghormatan.


"Lim Guan Eng perlu faham bahawa hak-hak dan keistimewaan raja-raja Melayu dilindungi dalam Perlembagaan dan oleh itu tidak wajar mana-mana pihak cuba mengheret institusi itu ke dalam permainan kancah politik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Beliau mengulas 'serangan' terbaru Setiausaha Agung DAP itu yang mendakwa BN bukanlah rakyat Malaysia sebenar kerana menurutnya parti itu hanya memperalatkan 3R iaitu Race (bangsa), Religion (agama) dan Raja.


Guan Eng malahan berkata, pendokong dan peminat Utusan Malaysia juga bukan rakyat Malaysia sebenar kerana akhbar itu dituduh menggunakan fahaman ekstremis.


Mohd. Zaini berkata, sebagai Ketua Menteri, Guan Eng tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan pelik seperti itu.
"Adakah beliau tidak memahami bahawa media di negara ini tertakluk kepada etika yang menjunjung konsep demokrasi berparlimen.


"Sebenarnya, beliau berasa tertekan kerana media yang dituduh sebagai perkauman itu sudah kembali diterima rakyat," katanya.


Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu seharusnya berfikir secara lebih rasional sebelum mengeluarkan kenyataan terutamanya jika membabitkan raja-raja Melayu.


"Saya nak tanya, apakah Guan Eng tidak tahu bahawa ramai raja Melayu yang berpendidikan tinggi malah ada yang mendapat ijazah kedoktoran dari universiti terkemuka di luar negara.


"Oleh itu, mereka tidak akan membiarkan diri mereka diperalatkan dengan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak," katanya.


Menurutnya, Guan Eng harus sedar bahawa kerajaan BN yang memerintah negara ini lebih dari 50 tahun telah melakukan yang terbaik dan memberi peluang sama rata kepada rakyat di negara ini termasuklah pembangkang.  "Di bawah pentadbiran BN, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengendalikan urusan pilihan raya berfungsi dengan baik, malah pembangkang dibenarkan bertanding dan mereka menang dan menguasai beberapa negeri. Itu pun masih hendak katakan kerajaan tidak adil?" soalnya.


Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, Guan Eng harus bersikap lebih profesional dalam setiap tindak-tanduknya dan tuduhan bahawa mereka yang menyokong Utusan Malaysia tidak layak digelar rakyat negara ini adalah tidak berasas sama sekali.


"Situasi beliau boleh digambarkan sebagai siapa makan cili terasa pedas. Dulu, merekalah yang bersungguh-sungguh memperjuangkan kebebasan media.


"Sekarang, apabila satu persatu kepincangan pentadbiran DAP di Pulau Pinang yang diterajuinya dibongkar Utusan, beliau seperti cacing kepanasan dan oleh itu keluarlah kenyataan yang bersifat menghina daripada beliau," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...