بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Assalamualaikum w.b.t - Ayuh kita bangkit, mempertahankan nadi Bangsa Melayu, Agama dan Tanah Air tercinta dari mereka yang cuba menghancurkannya. Allahhuakhbar, Allahhuakhbar, Allahhuakhbar.
Email: perkasa_terengganu@yahoo.com.

Sabtu, Februari 18, 2012

Henti guna Islam senjata politik, kata Dr Asri


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR - Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa pemimpin-pemimpin politik supaya berhenti daripada menggunakan agama sebagai “senjata politik” kerana ia dianggap merendahkan martabat Islam sendiri dan mengelirukan orang ramai.

Felo Pusat Pengajian Islam Oxford ini berkata, sesetengah pemimpin politik dilihat semakin mengeksploitasikan agama sebagai satu landasan untuk meraih simpati semata-mata demi kepentingan peribadi.
“Memisahkan agama daripada politik mungkin dianggap negatif, tetapi kalau agama sering digunakan untuk tujuan politik yang menjuru  kepada penyalahgunaan itu, ia lebih buruk.

“Bahaya menggunakan agama Islam sebagai senjata untuk politik, untu menegakkan yang salah dan untuk kepentingan kuasa semata-mata," kata beliau ketika berucap pada majlis Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012 di sini, hari ini.

Jelas beliau, tindakan menjadikan agama mainan politik juga menyebabkan fatwa menjadi ‘flip-flop’ dan tidak ada keseragaman.

“Fatwa yang ada kejap boleh kejap tidak boleh, kemudian ada saja fatwa baru yang keluarkan, baik dari Barisan Nasional dan juga Pas... fatwa politik sangat bahaya, agama perlu dibebaskan dari mainan politik," kata pensyarah Universiti Sains Malaysia ini.

Dalam ucapannya, Asri turut menyentuh sikap pemimpin politik yang menggunakan tulisan maya di lama sesawang sendiri untuk menyebarkan fitnah dalam menzalimi orang tidak berdosa.

Beliau berkata, seorang pemimpin sepatutnya bersaing politik dengan cara sihat kerana ia soal maruah seseorang.

“Apa yang ditulis dan disebarkan bukannya mahu bersaing idea yang baik, tetapi bersaing 'melondehkan' sesiapa, bagaimana nak berkembang perkara yang baik.

“Kita boleh nak kritik, tetapi biar berlapik, ada nilai, akhlak dan adil… bukan fitnah dan memburukkan orang lain," katanya.

Asri juga mengulas langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri majlis sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves pada 7 Februari lalu sambil menyifatkannya sebagai tidak salah kerana itu adalah tuntutan tugas.

“Masuk ke kuil atas rasa tugas seperti polis tidak apa, macam itulah juga pemimpin politik, beliau tidak menyambut perayaan itu tetapi hadir sebagai seorang Muslim dan pemerintah.

“Beliau hadir untuk berhujah bukannya nak menyokong… beliau pemimpin rakyat, takkan nak buat tak peduli kepada rakyatnya yang berbilang kaum," kataya.

Asri juga meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menetapkan garis panduan kesesuaian umat Islam melibatkan diri ke majlis agama lain supaya tidak berlaku kekeliruan seperti ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...