بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Assalamualaikum w.b.t - Ayuh kita bangkit, mempertahankan nadi Bangsa Melayu, Agama dan Tanah Air tercinta dari mereka yang cuba menghancurkannya. Allahhuakhbar, Allahhuakhbar, Allahhuakhbar.
Email: perkasa_terengganu@yahoo.com.

Sabtu, Februari 19, 2011

Wawasan 2020 perlukan semangat kebersamaan rakyat

KUALA LUMPUR 17 Feb. – Matlamat Wawasan 2020 tidak akan tercapai sekiranya terdapat kelompok di dalam masyarakat yang berasa terpinggir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, selain pelan pembangunan ekonomi yang progresif, visi dan matlamat Wawasan 2020 juga perlu disokong oleh semangat kebersamaan dan inklusif yang tinggi di kalangan rakyat.
“Semangat kebersamaan perlu supaya seluruh rakyat tanpa mengira kaum dapat bersama-sama mendukung visi kerajaan ke arah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pemantapan dan Pemasyarakatan Dewan Negara di bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Najib menambah, gagasan negara ke arah mewujudkan satu bangsa Malaysia bukanlah bermaksud supaya kaum lain perlu menjadi orang Melayu.
Sebaliknya kata beliau, ia lebih kepada satu semangat toleransi yang wujud dalam diri seluruh rakyat iaitu menerima dan meraikan kepelbagaian yang dimiliki.
“Ini adalah satu keadaan di mana kita telah mencapai satu peringkat bangsa Malaysia yang tertinggi,” kata beliau.
Najib menegaskan, semangat menerima kepelbagaian dan masyarakat majmuk itu perlu berpaksikan kepada semangat Perlembagaan Persekutuan yang merupakan sendi utama negara termasuk Perkara 153.
Kata beliau, meskipun Perlembagaan negara ada menyebut mengenai hak dan keistimewaan orang Melayu, namun keseluruhan Perlembagaan itu adalah adil kerana ia turut melindungi kaum-kaum lain.
Najib turut menambah, selain faktor dalaman, faktor luaran iaitu perubahan dunia atau globalisasi turut menjadi cabaran negara ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020 dan menjadi negara maju.
Antaranya kata beliau, ialah perubahan cuaca, krisis ekonomi, kuasa perdagangan dan lonjakan harga barang komoditi yang memberi kesan bukan hanya kepada Malaysia malah negara-negara lain di dunia.
“Cabaran lain juga ialah perkembangan teknologi maklumat yang begitu pesat ketika ini yang menjadikan persekitaran politik semasa jauh lebih mencabar,” kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...