بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Assalamualaikum w.b.t - Ayuh kita bangkit, mempertahankan nadi Bangsa Melayu, Agama dan Tanah Air tercinta dari mereka yang cuba menghancurkannya. Allahhuakhbar, Allahhuakhbar, Allahhuakhbar.
Email: perkasa_terengganu@yahoo.com.

Isnin, Januari 10, 2011

Khir sifatkan Menteri Besar cuba tutup kelemahan

SHAH ALAM 9 Jan. – Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menyifatkan tuduhan kerajaan negeri terhadap bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Ramli Mahmud kononnya menjadi punca pertikaian isu pelantikan SUK baru negeri itu sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, dakwaan kerajaan negeri yang mengatakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak dimaklumkan oleh Ramli mengenai perkenan Sultan Selangor melantik Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK yang baru itu sebenarnya hanyalah helah untuk menutup ketidakcekapan mereka dalam menjalankan pentadbiran negeri ini.
Katanya, dakwaan itu tidak masuk akal kerana Ramli dalam satu laporan akhbar menyatakan telah menyerahkan lapan senarai nama calon untuk jawatan itu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuklah kepada Abdul Khalid sendiri sebelum ini.
“Bagaimanapun, saya melihat pertikaian pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK baru Selangor berpunca daripada sikap tidak ambil berat Menteri Besar (Abdul Khalid) dalam pentadbiran negeri. Bagi saya, Menteri Besar tidak kompeten dan tidak cekap.

“Yang menjadi persoalannya, kenapa Menteri Besar tidak tanya atau berbincang dengan Datuk Ramli mengenai pelantikan SUK, termasuklah senarai calon yang ada terlebih dahulu. Menteri Besar boleh tanya Datuk Ramli dalam mesyuarat Exco atau bila-bila masa yang diperlukannya.
“Kalau dalam soal pelantikan SUK ini menunjukkan Menteri Besar dan Exconya tidak cekap, bagaimana pula dengan hal-hal pentadbiran negeri yang lain?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Khalid semalam yang menafikan bahawa Ramli dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan memaklumkan kepadanya mengenai pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK yang baru.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin dipetik sebagai berkata, sebaliknya KSN telah menyerahkan senarai nama calon SUK kepada Sultan Selangor melalui Ramli tanpa memaklumkannya kepada Abdul Khalid.
Malah, Menteri Besar menegaskan bahawa beliau telah dibelakangkan dalam semua urusan penyerahan nama ke istana sebelum 17 Disember 2010 dan cara ini ternyata tidak menepati prosedur serta membelakangkan Menteri Besar selain mengetepikan amalan telus dan profesional.
Dalam satu kronologi versi kerajaan negeri, Ramli didakwa tidak memaklumkan kepada Menteri Besar tentang pelantikan Mohammed Khusrin dalam mesyuarat Ecxo dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) antara 8 Disember sehingga 16 Disember lalu.
Dalam pada itu, Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang turut memberitahu, ketika menjadi Menteri Besar, beliau akan mendapatkan pandangan dan berbincang dengan SUK pada masa itu berhubung sebarang pelantikan tiga pegawai eksekutif kerajaan negeri, termasuklah SUK.
Katanya, soal pelantikan SUK itu bukannya hal yang besar dalam pentadbiran beliau kerana prosesnya pelantikannya telah ditentukan berdasarkan prosedur serta peruntukan undang-undang yang sedia ada sama ada di peringkat negeri mahu pun Persekutuan.
“Jadi kenapa kerajaan negeri hari ini mahu diperbesar-besarkan perkara ini seolah-olah pelantikan SUK ini ada kaitan dengan politik dan sebagainya. Tindakan kerajaan negeri ini sebenarnya tidak wajar dan hanya menyukarkan tumpuan pentadbiran dan mengelirukan rakyat,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...