بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Assalamualaikum w.b.t - Ayuh kita bangkit, mempertahankan nadi Bangsa Melayu, Agama dan Tanah Air tercinta dari mereka yang cuba menghancurkannya. Allahhuakhbar, Allahhuakhbar, Allahhuakhbar.
Email: perkasa_terengganu@yahoo.com.

Isnin, Januari 24, 2011

Exco DAP cabar sensitiviti umat Islam !!!!

PENDUDUK Selangor tentu masih ingat ketegangan dan kekecohan yang ditimbulkan Ronnie Liu dua tahun lalu apabila wakil rakyat DAP itu mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan semula arak dirampas. 

Ia menimbulkan persoalan kepada penduduk terutama beragama Islam, siapa sebenarnya yang berkuasa di Selangor ketika penyokong tegar PAS mengharapkan suara pemimpin parti itu didengar bagi mempertahankan kesucian agama Islam berkaitan isu berkenaan.

Berikutan itu, PAS Selangor mendesak kerajaan negeri memecat Liu kerana mendakwa tindakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri itu campur tangan dan menghalang pihak berkuasa tempatan (PBT) merampas minuman keras mengguris perasaan umat Islam.


Kali ini, isu berkaitan minuman keras itu timbul semula. Ia berlaku apabila Liu dan rakan di barisan Exco, Datuk Hasan Mohamed Ali berbeza pendirian berhubung larangan orang Islam bekerja di premis yang menyajikan minuman keras. 

Liu dilihat cuba sekali lagi bermain dengan isu arak apabila mengarahkan supaya Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menarik balik larangan orang Islam bekerja di premis yang menyediakan arak. 

Pekeliling mengenainya sudah dikeluarkan kepada Yang Dipertua MPSJ, Datuk Md Adnan Ikhsan dengan alasan kerajaan negeri tidak menyedari perkara berkenaan. Persoalannya, apa tujuan sebenar arahan itu? 

Hasan yang menjaga hal ehwal Islam, adat Melayu, infrastruktur dan kemudahan awam pula berpendirian tindakan MPSJ adalah wajar dan berterima kasih kepada pimpinan majlis kerana menguatkuasa peraturan itu. 
Sependapat dengan Hasan yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, Dewan Pemudanya menyokong tindakan MPSJ dan mahu larangan itu dikekalkan, bukannya ditarik balik. 

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan, berkata semua pihak perlu menyokong usaha MPSJ itu kerana ia hanya tindakan mempertahankan apa dilarang Islam dan tidak memberi kesan kepada mereka yang bukan Islam. 

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) juga menyokong pandangan Hasan yang mahukan MPSJ menguatkuasakan larangan umat Islam bekerja di premis menjual arak dan mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu bertegas dengan prinsip Islam. 

Kerajaan Selangor dilihat cuba meredakan isu berkenaan sebelum menjadi lebih kecoh apabila mengumumkan hasrat menubuh satu tabung khas bagi membantu bekas pekerja beragama Islam di premis menjual minuman keras supaya mereka tidak terbeban dengan penguatkuasaan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. 

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Hasan dan beberapa Exco lain iaitu Yaakob Sapari, Dr Halimah Ali dan Rodziah Ismail sudah diminta menubuhkan sekretariat bagi tujuan itu. 

Timbalan Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom menegaskan syariat Islam yang menetapkan pendapatan daripada sumber arak adalah haram dan ia tidak boleh diubah. 

Katanya, Islam memandang serius isu arak dan Nabi Muhammad SAW menggariskan secara jelas bahawa industri arak dan mereka yang terbabit dengannya menanggung dosa sama, dilaknat Allah dunia dan akhirat. 

"Ada syarak mengatakan ia dibenarkan jika seseorang itu berada dalam keadaan darurat, tetapi di Malaysia tidak darurat. Oleh itu, langkah MPSJ tepat dan adalah menjadi tanggungjawab masyarakat bagi menentukan ada tempat kerja baru bagi mereka. Tindakan Liu ternyata bertentangan dengan konsep perkongsian kuasa," katanya. 

Sebagai pemimpin Melayu, katanya, semua barisan pemimpin perlu memainkan peranan penting dalam usaha membanteras aktiviti haram yang boleh menimbulkan sensitiviti umat Islam. 

Bagi sesetengah pendapat, DAP dilihat cuba untuk kembali menunjuk kuasa dengan mempertikaikan Undang-Undang Syariah iaitu Seksyen 18 (2) Enakmen Jenayah Syariah. Dari satu sudut, kerajaan Selangor dilihat lebih takut kepada orang bukan Melayu kerana terpaksa mengubah larangan meskipun ia sebenarnya berlandaskan hukum Islam.

 Peranan PAS dalam kerajaan Selangor sekarang juga dipertikaikan meskipun cuba membuktikan mereka tidak pernah menggadaikan prinsip dan maruahnya. 

Sebagai wakil rakyat, Liu sepatutnya bukan sekadar ambil tahu mengenai Islam, malah beliau perlu belajar dan meneliti lebih mendalam berkaitan undang-undang yang mana arak itu haram di sisi Islam. 

Ketika pakatan pembangkang yang menerajui Selangor dilihat menjadi sebuah kenderaan, apakah PAS menjadi penumpang dan DAP menjadi pemandu? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...