بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Assalamualaikum w.b.t - Ayuh kita bangkit, mempertahankan nadi Bangsa Melayu, Agama dan Tanah Air tercinta dari mereka yang cuba menghancurkannya. Allahhuakhbar, Allahhuakhbar, Allahhuakhbar.
Email: perkasa_terengganu@yahoo.com.

Isnin, Januari 24, 2011

Isu bersalam: Harussani anggap Soi Lek hina Islam, perlu minta maaf

LABIS, 24 Jan — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan tindakan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam — calon PAS-Pakatan kerusi DUN Tenang, sebagai satu pendirian menghina agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.
Justeru, Harussani menggesa Dr Chua yang juga Presiden MCA supaya meminta maaf kepada orang Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam seorang wanita Islam.
Kempen Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Tenang dilihat memberikan tumpuan kepada cara bersalam calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman yang tidak bersalam dengan lelaki.
Kontroversi itu terlebih dahulu ditimbulkan Dr Chua dan ia diikuti beberapa pemimpin MCA yang turut mempertikaikan pendekatan Normala itu.
“Beliau perlu tahu, kalau tahu beliau kena hormati pendirian agama masing-masing, kalau tidak tahu itu adalah kejahilan.

“Kalau tahu tapi buat-buat tidak tahu itu menghina Islam namanya… saya bukan sebut ini untuk pertahankan calon PAS tapi ini melibatkan ajaran agama.
“Jadi beliau perlu minta maaf kerana menghina orang Islam,” kata Harussani.
Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.
Menurut Harussani, sebagai seorang wanita yang beragama Islam sudah menjadi kewajiban beliau untuk menjaga adab termasuk dari aspek bersalam.
“Barangkali beliau (Dr Chua) tidak tahu, beliau tak tahu apa itu hukum Islam.
“Kalau lelaki dan wanita itu bukan muhrim maka mereka tidak boleh bersalam, itu haram namanya.
“ Chua kena tahu itu adalah hukum agama, bagi orang Islam yang beriman tindakan itu adalah betul kerana agama jelaskan katakan ia haram,” katanya.
Harussani juga turut menyifatkan tindakan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengeluarkan “fatwa” baru sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.
“Beliau (Nizar) tidak boleh gunakan ajaran agama sewenang-wenangnya, kalau tiada dalam tuntutan (agama) tidak boleh kata haram.
“Kalau nak keluarkan (fatwa) mesti ada nas-nas, jangan main cakap sahaja.
“Kalau tiba-tiba kata haram ia melebihi Tuhan, melebihi Tuhan adalah syirik,” katanya.
Beliau juga menggesa mana-mana parti politik supaya tidak menggunakan agama dalam kempen pilihan raya kecil DUN Tenang.
“Jadi jangan gunakan agama sewenang-wenangnya, jangan kerana politik agama dipolitikkan.
Saya tidak sebelah mana-mana, apa yang saya cakap berdasarkan agama Islam,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...