بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Assalamualaikum w.b.t - Ayuh kita bangkit, mempertahankan nadi Bangsa Melayu, Agama dan Tanah Air tercinta dari mereka yang cuba menghancurkannya. Allahhuakhbar, Allahhuakhbar, Allahhuakhbar.
Email: perkasa_terengganu@yahoo.com.

Ahad, Februari 06, 2011

Bertindak tegas pihak hasut rakyat

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu kerajaan terus bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang menghina dan cuba menghasut rakyat supaya menentang institusi raja-raja Melayu.

Mereka juga berharap tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 semalam kerana mengeluarkan kenyataan menghina dan menghasut orang ramai supaya menentang institusi raja dijadikan iktibar kepada semua pihak.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, bukan sahaja Shuhaimi wajar ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana melakukan perbuatan itu tetapi ramai lagi pihak dan individu lain yang bertindak serupa wajar dikenakan tindakan.


"Diharap bukan setakat Shuhaimi sahaja yang ditahan di bawah akta itu. Sebelum ini banyak pihak mengeluarkan kenyataan yang mempunyai unsur hasutan, menghina agama Islam dan hak Melayu sama ada secara lisan mahu pun bertulis dan mereka juga wajar dikenakan tindakan yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas langkah kerajaan menahan Shuhaimi semalam dan akan didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 Isnin depan berikutan tulisan dalam blognya baru-baru ini yang dilihat menghina dan menghasut orang ramai menentang institusi raja.

Ibrahim berkata, pihak polis telah melakukan siasatan terperinci mengenai tindakan Shuhaimi itu dan sudah pasti mempunyai bukti kukuh untuk menahan wakil rakyat tersebut.

Dalam pada itu, Orang Besar Daerah Gombak, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata, tindakan yang dikenakan terhadap Shuhaimi itu wajar dijadikan pengajaran kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan berhubung institusi raja.

Katanya, sesiapa juga yang cuba bertindak menghina atau menghasut rakyat menentang raja-raja Melayu seharusnya dibawa ke muka pengadilan dengan segera mengikut lunas undang-undang yang sewajarnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, tindakan terhadap Shuhaimi itu wajib diambil kerana ia memperkecil-kecilkan martabat raja-raja Melayu.

Malah, katanya, Shuhaimi sepatutnya telah lama ditahan di bawah akta tersebut kerana perbuatan biadab beliau mempertikaikan Sultan Selangor boleh mengancam perpaduan di negara ini.

''Sebagai seorang Melayu dan wakil rakyat Melayu, Shuhaimi sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat tetapi beliau melakukan sebaliknya dengan mempertikaikan keputusan Sultan Selangor.

"Kami berharap ia menjadi tauladan kepada masyarakat di luar sana supaya tidak ada lagi yang berani mempertikaikan kuasa raja-raja Melayu," katanya.

Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Bakar menyifatkan tindakan pihak berkuasa menahan Shuhaimi di bawah akta tersebut sebagai langkah bijak terhadap individu yang telah mempertikaikan keputusan raja-raja Melayu.

Katanya, tindakan tersebut sememangnya akan dikenakan ke atas Shuhaimi, cuma ia menunggu masa sahaja.

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...