بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Assalamualaikum w.b.t - Ayuh kita bangkit, mempertahankan nadi Bangsa Melayu, Agama dan Tanah Air tercinta dari mereka yang cuba menghancurkannya. Allahhuakhbar, Allahhuakhbar, Allahhuakhbar.
Email: perkasa_terengganu@yahoo.com.

Ahad, Januari 16, 2011

Exco Selangor tidak sepakat

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melarang orang Islam bekerja di premis menjual minuman keras bertujuan mengekang kegiatan maksiat dalam kalangan umat Islam.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali berkata, larangan itu juga bertepatan dengan peruntukan di bawah Seksyen 18 (2) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang tidak membenarkan orang Islam melibatkan diri dalam urusan penjualan minuman keras.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor menambah, syarat serupa bagi urusan pemberian lesen kepada penjual minuman keras terdapat di dalam undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.
”Kedua-dua peruntukan di atas dengan sendirinya boleh digunakan untuk mencegah orang Islam daripada terjebak dalam hal yang berkaitan dengan minuman keras,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan dua Exco kerajaan negeri daripada DAP iaitu Teresa Kok dan Ronnie Liu yang dilaporkan meminta MPSJ menarik balik peraturan melarang orang Islam bekerja di premis yang menyajikan arak.
Larangan itu didedahkan oleh sebuah portal berita semalam yang memetik kenyataan Pegawai Perhubungan Awam MPSJ, Azfarizal Abd. Rashid iaitu premis perniagaan yang gagal mematuhi peraturan tersebut boleh dikenakan kompaun atau lesen ditarik balik.
Ronnie yang merupakan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilaporkan mengesahkan pekeliling telah dikeluarkan kepada Yang Dipertua MPSJ, Datuk Md. Adnan Ikhsan untuk menarik balik larangan itu kerana mendakwa ia tidak disedari oleh kerajaan negeri.
Menurut Hasan, mana-mana pihak tidak seharusnya bimbang dengan larangan tersebut kerana ia khusus bagi umat Islam.
Katanya lagi, peraturan itu juga telah melalui tiga proses perbincangan di peringkat jawatankuasa dan telah mendapat pengesahan dan kelulusan daripada semua pihak termasuk ahli majlis bukan Islam.
”Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada kepimpinan MPSJ yang telah menguatkuasakan peraturan ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...