بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Assalamualaikum w.b.t - Ayuh kita bangkit, mempertahankan nadi Bangsa Melayu, Agama dan Tanah Air tercinta dari mereka yang cuba menghancurkannya. Allahhuakhbar, Allahhuakhbar, Allahhuakhbar.
Email: perkasa_terengganu@yahoo.com.

Sabtu, Januari 22, 2011

Hisham selar 'pengecut' eksploitasi isu Interlok - ISA

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menyelar tindakan pihak-pihak yang mengeksploitasi isu novel "Interlok" sebagai pemimpin pengecut dan berfikiran sempit. 

Hishammuddin berkata golongan berkenaan hanya pandai memainkan isu tetapi tidak bijak mencari jalan penyelesaian. 

"Orang yang memecah-belahkan, mereka yang mempolitik dan mengeksploitasikan sebenarnya adalah pemimpin yang pengecut, pemimpin yang berfikiran sempit yang mengambil jalan mudah. Akhirnya, anak-anak kita yang tidak berdosa menjadi mangsa," katanya.

Beliau kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan dan bantuan kepada 279 pelajar miskin dan cemerlang Parlimen Sembrong, di Kluang, hari ini. 

Hishammudin yang juga Naib Presiden Umno berkata sebagai bekas Menteri Pelajaran yang berkhidmat selama lima tahun sebelum ini, beliau sangat memahami perkara yang boleh menjadi sensitif mahupun eksklusif. 

Sehubungan itu, beliau berharap pihak-pihak berkepentingan dalam membincangkan isu Interlok mengambil pendekatan "menang-menang" bagi menyelesaikan isu berkenaan. 

Hishammuddin berkata beliau percaya usaha Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengarahkan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan merupakan jalan terbuka bagi mewujudkan persefahaman.

"Menerusi dialog, saya harap ianya dapat hasilkan satu fahaman yang menang-menang. Kalau tidak, seperti biasa, apa jua isu yang berhubung kait dengan pendidikan boleh diputar-belitkan kepada isu perkauman dan agama," katanya.

Novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu menimbulkan kontroversi kerana terdapat kandungannya yang dikatakan menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.

--Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...